Kesihatan Reproduktif: Cabaran dan Harapan Masa Hadapan

By Dr. Maiza

Kesihatan reproduktif merupakan asas kesejahteraan keluarga dan kelangsungan generasi. Kesihatan reproduktif merujuk keadaan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial yang menyeluruh dalam semua aspek berkaitan dengan sistem reproduktif, termasuklah fungsi seksual yang sihat dan bebas risiko, keupayaan untuk menghasilkan zuriat serta autonomi untuk membuat keputusan mengenai perancangan reproduktif berdasarkan maklumat kesihatan yang tepat dan mencukupi. Namun demikian, cabaran ketaksuburan (infertility) semakin ketara pada peringkat global dan nasional. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa satu daripada enam orang dewasa mengalami masalah kesuburan sepanjang hayat mereka.

Kajian Human Reproduction (2021) pula menganggarkan lebih 110 juta wanita dan 55 juta lelaki hidup dengan masalah ketaksuburan di seluruh dunia.

Artikel ini meneliti isu kesuburan dari perspektif global dan menghubungkannya dengan realiti di Malaysia. Naratif ini menekankan bahawa ketaksuburan bukan kegagalan wanita semata-mata, tetapi hasil interaksi faktor biologi, penyakit ginekologi, kesuburan lelaki, gaya hidup, tekanan psikososial dan kelewatan menerima rawatan. Artikel ini menggariskan pendekatan amalan perubatan berasaskan bukti atau evidence-based medicine dalam pencegahan, rawatan, teknologi terkini serta sokongan emosi dan polisi nasional, dengan memberikan perhatian kepada unjuran masa hadapan Malaysia menuju status negara tua dan implikasi ekonomi.

Di Sebalik Statistik yang Menggusarkan

Isu kesihatan reproduktif sering digambarkan melalui angka yang dingin; kadar kesuburan, bilangan kelahiran, umur pernikahan atau jumlah pasangan yang mendapatkan rawatan. Di sebalik graf dan jadual, tergaris kisah tubuh yang diuji, harapan yang ditangguhkan dan daya tahan yang tidak selalu kelihatan.

Naratif Global: Ketaksuburan sebagai Isu Kesihatan Awam

Pada hari ini, dunia semakin menyedari bahawa ketaksuburan bukanlah isu terpencil. WHO menganggarkan bahawa sekitar 17.5 peratus populasi dewasa, iaitu kira-kira satu daripada enam orang berdepan dengan masalah ketaksuburan sepanjang kehidupan mereka. Angka ini turut ditegaskan oleh European Society of Human Reproduction and Embryology (ESHRE) sebagai gambaran nyata beban global yang serius.

Dalam pada itu, American Society for Reproductive Medicine (ASRM) melaporkan bahawa sekitar 10 peratus hingga 15 peratus pasangan mengalami masalah kesuburan, menjadikannya antara isu kesihatan yang sering dialami dalam kalangan individu berusia 20 tahun hingga 45 tahun. Angka ini tidak seharusnya menjadi stigma atau label yang menakutkan. Sebaliknya, angka ini wajar ditafsirkan sebagai pemangkin kesedaran bahawa kesihatan reproduktif perlu ditangani dengan lebih awal. Dengan memahami kesuburan sebagai isu multidimensi, masyarakat dapat bergerak daripada stigma kepada solidariti, daripada menyalahkan kepada menyokong, dan daripada menunggu kepada bertindak lebih awal.

Kadar Kesuburan di Malaysia: Perbandingan antara Tahun 1957 dengan Tahun 2026 dan Projeksi Masa Hadapan

Perbandingan kadar kesuburan negara menunjukkan transformasi demografi yang mendalam seperti dalam Jadual 1.

Jadual 1: Perbandingan kadar kesuburan di Malaysia antara tahun 1957 dengan tahun 2026.

  • Tahun 1957 (~6.7 anak per wanita): Era pascamerdeka, keluarga besar dianggap norma, ekonomi agraria, peranan wanita lebih tertumpu pada rumah tangga.
  • Tahun 2026 (~1.52 anak per wanita): Era moden, urbanisasi pesat, wanita berpendidikan tinggi, kerjaya dan ekonomi mendesak, kos sara hidup meningkat, perkahwinan dan kehamilan ditangguhkan.

Penurunan kadar kesuburan yang melebihi 75 peratus ini mencerminkan perubahan struktur sosial, ekonomi, dan kesihatan reproduktif. Malaysia kini berada jauh di bawah paras penggantian populasi (1.52 anak per wanita). Hal ini menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian demografi jangka masa panjang.

Projeksi masa hadapan menunjukkan bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah negara tua sekitar tahun 2035 hingga tahun 2040, apabila lebih 14 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas. Dengan kadar kesuburan yang terus menurun, populasi negara akan mengalami penuaan demografi yang ketara, iaitu jumlah warga emas meningkat, bilangan bayi dan kanak-kanak menurun dan nisbah tanggungan berubah. Fenomena ini membawa kesan langsung kepada ekonomi Malaysia seperti yang berikut:

  • Tenaga kerja mengecil: Kurang golongan muda yang produktif yang menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
  • Kos kesihatan meningkat: Lebih warga emas memerlukan rawatan dan penjagaan jangka panjang.
  • Tekanan sistem pencen: Nisbah tanggungan berubah dan lebih banyak warga emas disokong.
  • Pertumbuhan perlahan: Kadar kelahiran rendah dan populasi tua memberikan impak kepada daya saing ekonomi.

Cabaran Kesuburan Wanita: Penyakit dan Faktor Pendorong

Masalah kesuburan jarang-jarang berpunca daripada satu sebab tunggal. Sebaliknya, masalah ini merupakan hasil interaksi kompleks antara ketaksuburan lelaki, penyakit ginekologi, faktor biologi, gaya hidup moden dan tekanan psikososial. Amalan perubatan berasaskan bukti menekankan bahawa memahami kesuburan sebagai isu multidimensi ialah kunci untuk merangka strategi rawatan yang berkesan.

Antara penyakit utama yang sering menjejaskan kesuburan wanita termasuklah Sindrom Ovari Polikistik (PCOS), endometriosis, adenomiosis, penurunan rizab ovari serta masalah rahim dan tiub Fallopio. PCOS bukan sahaja menjadi punca utama gangguan ovulasi, malah penyakit ini mengakibatkan masalah kecelaruan haid, kerintangan insulin, gangguan metabolik dan risiko jangka panjang terhadap kesihatan reproduktif, termasuklah kanser endometrium.

Sementara itu, endometriosis ialah keadaan tisu seakan-akan lapisan dalam rahim (endometrium) yang tumbuh di luar rahim yang menyebabkan senggugut teruk, keradangan kronik, kesakitan pelvis dan boleh menjejaskan kesuburan. Adenomiosis pula ialah keadaan tisu lapisan dalam rahim yang tumbuh dalam dinding otot rahim, menyebabkan rahim menebal dan membengkak serta boleh mengakibatkan haid yang banyak, senggugut teruk, keradangan kronik, kesakitan pelvis dan menjejaskan kesuburan.

Menurut WHO, endometriosis dan adenomiosis menjejaskan sekitar 10 peratus hingga 20 peratus wanita usia reproduktif. Kelewatan diagnosis (purata lebih tujuh tahun) menyebabkan banyak wanita menanggung kesakitan kronik, gangguan prestasi kerja dan kesuburan yang terjejas tanpa disedari. Adenomiosis menambah beban fizikal dan emosi wanita akibat pendarahan haid berlebihan serta gangguan implantasi.

Penurunan rizab ovari berlaku secara fisiologi seiring dengan usia. Namun demikian, bagi sesetengah wanita, penurunan rizab ovari muncul lebih awal akibat endometriosis, faktor genetik, autoimun atau rawatan perubatan dan pembedahan tertentu. Masalah rahim dan tiub Fallopio seperti fibroid, polip endometrium, septum rahim serta kerosakan akibat jangkitan pelvis turut menjadi penghalang kepada implantasi dan pergerakan gamet, sekali gus menjejaskan kesuburan wanita.

Kesuburan juga dipengaruhi oleh gaya hidup dan keadaan semasa yang mendesak. Masalah seperti obesiti, sindrom metabolik, kurang aktiviti fizikal, diet ultraproses, gangguan tidur, stres kronik serta pendedahan kepada bahan kimia pengganggu endokrin adalah antara faktor pendorong masalah kesuburan. Tekanan hidup moden termasuklah tuntutan kerjaya, ekonomi dan sosial menambahkan lagi lapisan cabaran yang tidak boleh dipisahkan daripada dimensi biologi.

Kesemua faktor ini membentuk gambaran bahawa kesuburan bukan sekadar fungsi rahim atau kenormalan sperma, tetapi refleksi kesihatan tubuh secara menyeluruh. Sehubungan dengan itu, pencegahan dan rawatan perlu dilihat dalam kerangka multidimensi termasuklah pengurusan kesihatan kesuburan lelaki, penyakit ginekologi, memperbaik gaya hidup, mengurangkan tekanan psikososial dan memastikan akses kepada rawatan yang tepat pada waktunya.

Cabaran Kesuburan Lelaki: Perspektif Global dan Sejarah

Selama beberapa dekad, fokus kesuburan lebih tertumpu pada wanita. Pada era 1960-an, kesuburan lelaki jarang-jarang dibincangkan secara terbuka. Data mengenai bilangan anak yang dimiliki oleh lelaki atau usia mereka ketika menjadi bapa juga kurang direkodkan.

Namun demikian, kajian mutakhir menegaskan bahawa kesuburan lelaki ialah isu besar kini. Kajian global menunjukkan penurunan ketara dalam parameter (kuantiti dan kualiti) sperma sejak 60 tahun lalu, dengan trend ini dilihat di pelbagai negara maju dan membangun. Faktor penyumbang kepada isu kesuburan lelaki termasuklah gaya hidup moden seperti obesiti, merokok, meminum alkohol, pendedahan kepada bahan kimia pengganggu endokrin, tekanan psikososial serta penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi. Dengan peningkatan kesedaran dan kajian saintifik, jelaslah bahawa kesuburan lelaki menyumbang hampir separuh daripada kes ketaksuburan pasangan. Hal ini menandakan perubahan besar dalam naratif kesihatan reproduktif, iaitu jika sebelum ini wanita sering dituduh mengalami masalah kesuburan, kini masalah kesuburan lelaki juga memainkan peranan kritikal.

Rawatan Kesuburan dan Teknologi

Rawatan kesuburan di Malaysia berasaskan pendekatan berperingkat, selaras dengan prinsip amalan perubatan berasaskan bukti. Proses rawatan tidak bermula terus dengan persenyawaan in vitro (IVF), tetapi melalui langkah sistematik yang menilai kesihatan pasangan secara menyeluruh seperti yang berikut:

Pengoptimuman kesihatan prakehamilan/prarawatan Pengoptimuman kesihatan prakehamilan dan prarawatan ialah proses yang menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat, dengan memastikan seseorang bebas daripada rokok dan vap, mengambil pemakanan yang seimbang, mengawal berat badan, melakukan aktiviti fizikal secara konsisten serta menguruskan penyakit kronik seperti diabetes dan hipertensi. Selain itu, saringan awal bagi penyakit ginekologi seperti endometriosis dan fibroid serta penyakit lelaki seperti varikokel dan gangguan sperma juga perlu dilakukan. Hal ini bagi memastikan tahap kesihatan reproduktif berada dalam keadaan optimum sebelum kehamilan atau rawatan kesuburan dijalankan.

Rawatan ovulasi/hormon dengan pemantauan Induksi ovulasi ialah rawatan perubatan yang menggunakan ubat perangsang ovari untuk menghasilkan, mematangkan dan melepaskan (ovulasi) telur bagi meningkatkan peluang kehamilan pada wanita yang mengalami masalah ketaksuburan. Induksi ovulasi boleh dilakukan dengan menggunakan ubat hormon seperti clomiphene citrate atau gonadotropin. Sementara itu, pemantauan melalui ultrabunyi dan ujian darah dijalankan untuk memastikan keberkesanan rawatan serta mengurangkan risiko komplikasi.

Prosedur terpilih Untuk wanita, prosedur terpilih yang dilaksanakan termasuklah histeroskopi untuk membuang polip atau septum rahim, laparoskopi untuk menangani endometriosis, adenomiosis atau masalah tiub Fallopio.

Dalam pada itu, prosedur untuk lelaki pula termasuklah varicocelectomy, Testicular Sperm Aspiration (TESA)/Microsurgical Epididymal Sperm Aspiration (MESA)/Percutaneous Epididymal Sperm Aspiration (PESA), sperm washing dan rawatan hormon atau ubat. Varicocelectomy ialah prosedur pembedahan yang dilakukan untuk membaiki keadaan varicocele, iaitu salur darah abnormal di sekitar testis yang boleh menjejaskan kualiti sperma. Pembedahan ini bertujuan untuk meningkatkan fungsi testis dan memperbaik kesuburan lelaki.

Selain itu, prosedur TESA/MESA/PESA merupakan teknik pengambilan sperma secara langsung daripada testis atau epididimis. Kaedah ini digunakan khusus bagi lelaki yang mengalami azoospermia, iaitu ketiadaan sperma ditemukan dalam air mani. Sperma yang diperoleh melalui teknik ini boleh digunakan untuk rawatan persenyawaan seperti IVF atau Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI).

Sementara itu, sperm washing pula ialah prosedur makmal yang dijalankan untuk memilih dan mengasingkan sperma yang paling sihat serta aktif. Sperma yang telah melalui proses ini kemudiannya digunakan dalam rawatan kesuburan seperti Intrauterine Insemination (IUI) atau IVF bagi meningkatkan peluang persenyawaan.

Dalam pada itu, rawatan hormon atau ubat diberikan kepada lelaki yang mengalami gangguan hormon yang menjejaskan penghasilan sperma. Rawatan ini membantu menyeimbangkan hormon, merangsang pengeluaran sperma dan seterusnya meningkatkan kesuburan.

Rawatan berbantu Antara rawatan berbantu yang dilaksanakan termasuklah IUI, IVF, ICSI dan Intracytoplasmic Morphologically Selected Sperm Injection (IMSI). IUI ialah prosedur rawatan kesuburan yang memasukkan sperma yang telah diproses dan dipilih ke dalam rahim wanita ketika waktu subur. Kaedah ini bertujuan untuk meningkatkan peluang sperma bertemu dengan ovum secara semula jadi dalam tubuh.

IVF pula merupakan rawatan kesuburan melibatkan proses persenyawaan yang berlaku di luar tubuh, iaitu di makmal. Ovum wanita akan digabungkan dengan sperma dalam keadaan terkawal sehingga terbentuk embrio. Seterusnya, embrio tersebut dipindahkan ke dalam rahim untuk proses kehamilan.

Sementara itu, rawatan berbantu untuk kesuburan lelaki termasuklah ICSI dan IMSI. Dalam prosedur ICSI, setiap sperma tunggal akan disuntik terus ke dalam ovum dengan menggunakan mikropipet. Rawatan ini amat sesuai bagi kes ketaksuburan lelaki yang kompleks, khususnya bilangan sperma yang sangat rendah atau motiliti sperma terlalu lemah untuk bersenyawa dengan ovum secara semula jadi.

IMSI pula merupakan teknik lanjutan daripada ICSI. Dalam prosedur ini, sperma dipilih dengan menggunakan mikroskop berkuasa tinggi yang membolehkan penilaian morfologi sperma dilakukan dengan lebih terperinci. Hanya sperma yang mempunyai bentuk paling normal dan bebas daripada kecacatan struktur akan dipilih untuk disuntik ke dalam ovum. Dengan pemilihan sperma yang lebih teliti, IMSI memberikan peluang yang lebih tinggi untuk kejayaan persenyawaan serta implantasi embrio yang sihat. Teknik ini digunakan, terutamanya bagi pasangan yang mengalami kegagalan berulang dalam rawatan IVF atau ICSI ataupun yang menghadapi masalah kualiti embrio yang rendah.

Fasiliti dan Khidmat Rawatan Kesuburan di Malaysia

Ekosistem rawatan kesuburan di Malaysia terbentuk melalui gabungan agensi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hospital universiti awam berstatus badan berkanun serta pusat IVF swasta. Kesemua entiti ini memainkan peranan yang saling melengkapi, namun dengan pendekatan dan kekuatan yang berbeza.

LPPKN Sebagai peneraju dasar dan advokasi, LPPKN melaksanakan Dasar Kependudukan Negara dan Pelan Tindakan Kesihatan Reproduktif Kebangsaan. Fokus LPPKN bukan sekadar rawatan, tetapi keseimbangan demografi dan kelestarian populasi. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah penyediaan klinik kesuburan asas (induksi ovulasi, IUI, sokongan hormon), kaunseling pasangan, pendidikan masyarakat serta advokasi kesedaran awam mengenai kesuburan dan perancangan keluarga. Terkini, LPPKN memperkenalkan program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BuAl) kepada pasangan warganegara Malaysia yang layak serta bertujuan untuk meringankan beban kewangan rawatan dan memperluas akses kepada teknologi reproduktif, khususnya bagi pasangan berpendapatan sederhana. Melalui program ini, sebanyak 30,000 pasangan suami isteri akan menerima manfaat seperti yang berikut:

  • 1300 pasangan yang layak menjalani rawatan IUI akan dibiayai untuk maksimum dua kitaran rawatan IUI.
  • Kempen advokasi kesuburan dan kesejahteraan lelaki melalui platform fizikal, media sosial dan jangkauan dengan slogan “Lebih Awal Lebih Baik”.
  • Perkhidmatan kaunseling, konsultasi, saringan serta rawatan kesuburan dan kesejahteraan lelaki.

Hospital kerajaan Hospital kerajaan berfungsi sebagai tulang belakang sistem rawatan kesuburan negara dengan menyediakan perkhidmatan klinikal berteknologi tinggi seperti rawatan IVF, IUI dan ICSI dengan kos yang berpatutan. Lebih penting lagi, hospital ini bertindak sebagai pusat rujukan nasional bagi kes kompleks, sekali gus memastikan akses rawatan kesuburan tidak terbatas kepada golongan berada. Peranan ini menegaskan komitmen kerajaan dalam memastikan kesuburan sebahagian daripada hak kesihatan awam yang inklusif. Antara hospital utama yang menawarkan rawatan kesuburan termasuklah Hospital Tunku Azizah (Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu dan Hospital Likas, Sabah.

Hospital universiti awam Hospital universiti awam berstatus badan berkanun seperti Hospital Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM memperkukuh ekosistem rawatan kesuburan melalui gabungan rawatan klinikal, penyelidikan saintifik dan latihan pakar reproduktif. Fasiliti universiti ini bukan sekadar melengkapkan peranan hospital kerajaan, tetapi juga menjadi medan pembangunan ilmu dan inovasi dalam teknologi reproduktif. Dengan kedudukan sebagai institusi akademik, universiti awam melahirkan generasi pakar obstetrik dan ginekologi dengan subkepakaran perubatan reproduktif yang berkemahiran tinggi, di samping menyumbang kepada penyelidikan yang memperkaya dasar kesihatan reproduktif negara.

Pusat IVF swasta Selain hospital kerajaan dan hospital universiti awam, pusat IVF swasta memainkan peranan penting dalam ekosistem kesuburan Malaysia dengan menawarkan rawatan segera, privasi yang tinggi dan teknologi terkini, di samping menjadi sebahagian daripada strategi pelancongan kesihatan negara. Melalui sokongan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Malaysia telah muncul sebagai destinasi rawatan kesuburan serantau yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Pusat IVF swasta menerima pesakit dari Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, menjadikan Malaysia pilihan utama kerana kos rawatan yang lebih rendah berbanding dengan negara maju, tetapi dengan kualiti yang setara. Fenomena ini bukan sahaja memperkukuh imej Malaysia sebagai hab kesihatan global, malah menyumbang kepada lonjakan ekonomi negara. Sektor kesihatan swasta kini menyumbang sekitar 2.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, dengan kadar pertumbuhan purata melebihi sembilan peratus selepas pandemik, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu, mengembangkan industri sokongan seperti hospitaliti dan pengangkutan serta menempatkan Malaysia sebagai pemacu utama dalam industri kesuburan dan pelancongan kesihatan serantau. Antara pusat IVF yang terkemuka di Malaysia termasuklah:

  • Sophea Fertility Centre: Pusat IVF ini bersifat antarabangsa, mesra muslimah, patuh syariah dan menerima pesakit dari luar negara. Sophea Fertility Centre menonjol sebagai pusat rawatan yang mesra wanita serta unik dalam konteks Malaysia bermajoriti Muslim.
  • Sunfert International Fertility Centre: Pusat rawatan ini antara pusat rawatan IVF tertua dan berpengaruh di Malaysia dan diiktiraf oleh Reproductive Technology Accreditation Committee. Sunfert International Fertility Centre menekankan piawaian antarabangsa dan mesra pesakit.
  • Alpha IVF and Women’s Specialists: Alpha IVF and Women’s Specialists terkenal sebagai pusat IVF bertaraf dunia yang dilengkapi dengan teknologi lanjutan. Pusat rawatan ini sering muncul dalam rangkaian MHTC sebagai destinasi premium.
  • KL Fertility Centre: Dengan lebih 20 tahun pengalaman, KL Fertility Centre menawarkan rawatan kesuburan moden seperti IVF, ICSI dan sokongan kaunseling serta menerima pesakit dari dalam dan luar negara.

Dimensi Emosi

Ketaksuburan bukan sekadar isu klinikal, tetapi ujian emosi dan sosial yang mendalam. Pasangan yang berdepan dengan kegagalan rawatan, kehilangan kandungan pada awal kehamilan atau penantian keputusan sering mengalami tekanan psikologi yang berat. Suntikan hormon yang berulang kali, prosedur invasif dan kos rawatan yang tinggi menambah beban mental, menjadikan perjalanan rawatan kesuburan bukan sahaja mencabar fizikal tubuh, tetapi emosi dan jiwa, terutamanya kaum wanita.

Wanita sering menanggung stigma sosial dengan soalan tidak wajar seperti “Bilakah mahu ada anak?”, manakala lelaki pula berdepan dengan cabaran maskuliniti apabila kesuburan mereka dipersoalkan. Perasaan bersalah, kecewa dan terasing boleh menjejaskan hubungan pasangan serta kesejahteraan keluarga. Dalam konteks ini, sokongan psikososial menjadi komponen penting dalam rawatan kesuburan. LPPKN dan hospital kerajaan menyediakan kaunseling pasangan, pendidikan komuniti serta advokasi kesedaran untuk mengurangkan stigma masyarakat. Pendekatan ini mencerminkan bahawa masalah kesuburan bukan hanya berkisar tentang teknologi, tetapi juga merangkumi pemulihan jiwa, pengukuhan hubungan dan penerimaan sosial.

Lebih mencabar lagi, dimensi emosi ini turut berkait dengan implikasi demografi dan ekonomi. Tekanan psikologi yang berpanjangan boleh menyebabkan pasangan menangguhkan rawatan atau memilih untuk tidak meneruskan usaha mendapatkan zuriat, sekali gus memberikan kesan kepada kadar kesuburan nasional. Oleh itu, sokongan emosi merupakan sebahagian daripada strategi negara bagi memastikan kelestarian populasi.

Aspirasi Nasional dan Global: Kesuburan sebagai Agenda Dasar dan Kelestarian

Malaysia sedang berdepan dengan realiti demografi yang genting, iaitu kadar kesuburan yang merosot, populasi yang menua dengan paras penggantian populasi yang semakin menjauh dan tenaga kerja domestik yang kian merudum. Dalam keadaan ini, dasar kependudukan tidak boleh lagi bersifat reaktif, tetapi mesti beranjak ke arah transformasi struktural. Cadangan mewujudkan Dasar Polisi Insurans Fertiliti Kebangsaan merupakan langkah kritikal kerana bukan sahaja menjamin akses rawatan IVF secara lebih adil, tetapi juga menandakan kesediaan negara untuk menginstitusikan kesuburan sebagai hak kesihatan awam yang setara dengan rawatan penyakit kronik.

Dengan gabungan hospital kerajaan, universiti awam dan pusat IVF swasta bertaraf antarabangsa, Malaysia berpotensi muncul sebagai hab kesihatan reproduktif serantau. Sokongan MHTC memperkukuh kedudukan ini, menjadikan sektor kesuburan bukan sahaja pemacu kesejahteraan keluarga, tetapi juga sumber lonjakan ekonomi melalui strategi pelancongan kesihatan negara. Malaysia boleh diletakkan sebagai negara yang bukan sahaja menangani isu demografi secara dalaman, tetapi juga menawarkan penyelesaian kepada dunia yang berdepan dengan cabaran yang serupa.

Kesihatan reproduktif bukan sekadar isu peribadi, tetapi merupakan agenda nasional dan global yang menuntut keberanian politik, inovasi dasar serta penerimaan masyarakat. Dengan aspirasi membina masa hadapan yang sejahtera dan visi menjadikan kesuburan sebagai agenda kolektif, satu kerangka baharu perlu dirangka dengan mengangkat insurans kesuburan sebagai keadilan sosial, pelancongan kesihatan sebagai pemacu ekonomi dan naratif reproduktif sebagai tonggak kelestarian demografi, sekali gus menyalakan cahaya harapan dalam usaha membina masyarakat yang mampan dan berdaya saing. Oleh itu, Malaysia berpeluang memperkukuh institusi keluarga, memastikan kestabilan populasi serta menempatkan diri sebagai peneraju global dalam agenda kesihatan reproduktif dan kelestarian manusia.

Dr. Maiza Tusimin, Pakar Perunding Obstetrik, Ginekologi dan Perubatan Reproduktif, Hospital Prince Court Medical Centre.